Wednesday, June 25, 2008

Mukjizatnya Azan

Pesanan Semasa Mendengar Azan...

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.... lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut'.


Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: 'Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. 'Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan

berkumandang.


Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak
.

Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah 'Lailahaillallah. .' yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.
'Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah 'Lailahaillallah. .' semasa sakaratul maut menghampiri kami.

Amin..amin.. amin Yarobbal a'lamin..'

WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W. kepada SAIDINA ALI R.A.;
Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.


Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.


Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.


Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.


Wang RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tetapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket. 45 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk pertandingan bola sepak.. Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya
.

Monday, June 23, 2008

Darah Istihadhah (Penyakit)

Ta`arifnya : ialah darah yang keluar daripada faraj ( kemaluan) perempuan yang bukan pada hari haid dan nifas.

Kedudukan Darah Istihadhah

Darah istihadhah ialah darah penyakit yang keluar dari urat yang hampir dengan rahim perempuan yang dinamakan al-azal iaitu urat atau sejenis kulit yang berada didalam faraj (hampir dengan rahim) perempuan dan disitulah tempat masuknya air mani lelaki yang bakal menjadi anak dan dari situ juga kelurnya darah nifas.Darah istihadhah ini menyebabkan terbatholnya wudu`(air sembahyang) tetapi tidak mewajibkan mandi janabah (mandi hadas besar)dan ia menyebabkan hadas yang berkekalan. Sungguhpun demikian tidaklah menghalang seseorang perempuan itu dari mengerjakan ibadat seperti solat, puasa dan lain-lainnya. Malahan wajib bagi perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu tadi mengerjakan segala a`malan yang difardukan itu seperti biasa, Cuma sebelum berwudu` maka hendaklah ia membasuh farajnya (kemaluannya) dan menyekatnya dengan sesuatu agar tidak meleleh.

Dalam masaalah ini , apabila seseorang perempuan itu keluar darah istihadhah, maka hendaklah ia menyumbat farajnya dengan kapas atau seumpamanya (lampin khas) dan seeloknya direnjis sedikit pewangi pada penyumbatnya itu.

Selepas itu barulah perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu berwudu` atau bertayamum, tetapi perlu diingat tidak harus bagi mereka berbuat demikin kecuali setelah masuk waktu solat, kerana perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu adalah seperti orang yang berkekalan hadas.

Jika seseorang perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu berlengah-lengah atau menangguhkan sembahyangnya tanpa sesuatu tujuan yang berkaitan dengan sembahyangnya, maka tidaklah sah bahkan bathol wudu`nya itu dan wajib mengulanginya kembali.

Justeru itu, wajib bagi perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu memperbaharui wudu`nya pada tiap-tiap solat fardu, sekalipun solat fardu itu dengan sebab nazar dan wajib juga ia tukarkan penyumbat atau lampin farajnya itu pada setiap kali sembahyang fardu walaupun tidak keluar darahnya dari lubang faraj dan tidak meleleh ditepi farajnya itu. Ini kerana perempuan yang kedatangan darah istihadhah itu adalah seperti hukum orang yang da`imul hadas (orang yg sentiasa berhadas).

Penghijrahan Azmil Mustapha

SATU ketika dahulu namanya cukup dikenali. Sebut sahaja Ali Setan, pasti wajah tampannya terbayang. Itulah Azmil Mustapha, 20 tahun yang lalu.

Tetapi setelah membintangi lebih 20 buah filem termasuk Ali Setan, Suara Kekasih dan Mekanik tiba-tiba bapa kepada lima orang anak ini hilang tanpa berita.

Ramai tertanya-tanya ke mana perginya Azmil yang pernah meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-6 (1986) menerusi lakonannya dalam filem Ali Setan ini. Kesempatan menemuinya pada sidang akhbar Karnival Nisfu Syaaban baru-baru ini dalam nada tenang Azmil menceritakan penghijrahannya.

Berjubah dan berserban putih, Azmil kini kelihatan lebih matang dan jauh berubah sikap.

“Saya telah nekad berubah sejak enam tahun lalu. Inilah penghijrahan saya.

“Bukan senang nak berubah, kita kena perlahan-perlahan. Memang sukar pada mulanya tapi semuanya terletak pada diri sendiri.

“Salah satu caranya, saya memutuskan hubungan dengan kawan-kawan dalam industri seni. Sebab itu ramai tak dapat berjumpa dengan saya. Bukannya kerana apa, itu salah satu cara terbaik. Dan keputusan itu satu tindakan yang betul kerana saya nampak hasilnya,” kata Azmil yang kini menjadi penceramah agama sepenuh masa.

Azmil tidak menafikan di zaman mudanya dahulu, dia nakal sama seperti anak muda lain. Dalam pada itu, dia pernah terfikir untuk berubah tetapi keadaan sekeliling menyebabkan niatnya itu tidak dapat diteruskan.

“Saya selalu keluar malam macam anak muda lain. Sentiasa mahu bersuka ria. Tapi pada satu hari tu, saya balik awal dan membuka televisyen. Masa tu, tiada siaran lain. Cuma ada siaran RTM sahaja dan ketika itu siaran penutup iaitu terjemahan al-Quran.

“Saya melihat dan mendengar tafsiran itu. Sejak dari itu, saya selalu pastikan tidak akan terlepas menonton slot itu biarpun saya keluar malam,” katanya yang ketika itu sudah mula terbuka hati untuk berubah dan mendalami ilmu agama.

*Dua Kali Kahwin

Menceritakan mengenai kisah dirinya sambil tersenyum Azmil berkata, “Saya sekarang duda setelah dua kali kahwin. Bekas isteri pertama saya tak suka saya terlibat dalam dunia hiburan. Jadi agak bermasalah ketika itu kerana masing-masing tidak memahami. Dengan bekas isteri pertama, saya dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia 22 tahun.

“Manakala dengan bekas isteri kedua pula, ceritanya terbalik pula. Dia tak dapat menerima keadaan saya sekarang. Dengannya saya dikurniakan empat orang anak.”

Malah kata Azmil, “Ketika saya bercerai itu pun anak bongsu saya berumur 4 bulan. Bayangkan saya menjadi bapa tunggal kepada lima orang anak ketika itu. Tapi alhamdulillah saya merasai pengalaman terindah dalam hidup saya. Kerana bukan semua lelaki dapat merasai pengalaman sebegini.” Kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, dia tidak menafikan masih ada ruang dalam hatinya untuk mencari pengganti.

“Saya tidak kisah untuk mencari pengganti asalkan orangnya beragama, “ujarnya.

*Tidak Akan Berlakon

Menyentuh mengenai dunia lakonan pula kata Azmil, “Saya pernah mendapat beberapa tawaran. Tapi buat masa sekarang saya tidak berminat untuk terlibat lagi.”

Katanya, jika ditawarkan berlakon drama bercorak agama, dia akan menimbangkannya dahulu. “Saya akan membuat sembahyang istiqarah. Jika saya tak dapat petunjukNya saya tak akan menerimanya.”

Malah Azmil mengakui pernah mendapat tawaran menerbitkan filem berunsur agama secara usahasama dengan syarikat perfileman dari Cape Town tetapi menolaknya.

“Saya dah bersetuju pada mulanya dan mereka mahu menawarkan nilai yang tinggi kepada saya. Tapi setelah membuat sembahyang istiqarah, saya tidak dapat petunjuk daripadaNya maka saya reda untuk menolak. Mungkin ada rezeki di tempat lain,” kata Azmil.

Namun lain pula ceritanya saat ditawarkan melakonkan watak Pengiran Demak dalam filem Puteri Gunung Ledang pada tahun 2002.

Kata Azmil, persetujuan dibuat setelah penerbit filem tersebut, Tiara Jacquelina bersetuju dengan 10 syarat yang diberikannya.

“Kebetulan Tiara, kawan lama saya. Antara syarat yang saya minta, tidak mahu nama atau gambar saya dipaparkan di mana-mana iklan di media cetak atau elektronik,” cerita Azmil tentang penampilan terakhirnya di layar perak.

Sunday, June 22, 2008

Imam Syafie

imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”

Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”
“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.
Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

posted by pewaris malaya at 3:01 PM 0 Comments