Monday, June 23, 2008

Penghijrahan Azmil Mustapha

SATU ketika dahulu namanya cukup dikenali. Sebut sahaja Ali Setan, pasti wajah tampannya terbayang. Itulah Azmil Mustapha, 20 tahun yang lalu.

Tetapi setelah membintangi lebih 20 buah filem termasuk Ali Setan, Suara Kekasih dan Mekanik tiba-tiba bapa kepada lima orang anak ini hilang tanpa berita.

Ramai tertanya-tanya ke mana perginya Azmil yang pernah meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-6 (1986) menerusi lakonannya dalam filem Ali Setan ini. Kesempatan menemuinya pada sidang akhbar Karnival Nisfu Syaaban baru-baru ini dalam nada tenang Azmil menceritakan penghijrahannya.

Berjubah dan berserban putih, Azmil kini kelihatan lebih matang dan jauh berubah sikap.

“Saya telah nekad berubah sejak enam tahun lalu. Inilah penghijrahan saya.

“Bukan senang nak berubah, kita kena perlahan-perlahan. Memang sukar pada mulanya tapi semuanya terletak pada diri sendiri.

“Salah satu caranya, saya memutuskan hubungan dengan kawan-kawan dalam industri seni. Sebab itu ramai tak dapat berjumpa dengan saya. Bukannya kerana apa, itu salah satu cara terbaik. Dan keputusan itu satu tindakan yang betul kerana saya nampak hasilnya,” kata Azmil yang kini menjadi penceramah agama sepenuh masa.

Azmil tidak menafikan di zaman mudanya dahulu, dia nakal sama seperti anak muda lain. Dalam pada itu, dia pernah terfikir untuk berubah tetapi keadaan sekeliling menyebabkan niatnya itu tidak dapat diteruskan.

“Saya selalu keluar malam macam anak muda lain. Sentiasa mahu bersuka ria. Tapi pada satu hari tu, saya balik awal dan membuka televisyen. Masa tu, tiada siaran lain. Cuma ada siaran RTM sahaja dan ketika itu siaran penutup iaitu terjemahan al-Quran.

“Saya melihat dan mendengar tafsiran itu. Sejak dari itu, saya selalu pastikan tidak akan terlepas menonton slot itu biarpun saya keluar malam,” katanya yang ketika itu sudah mula terbuka hati untuk berubah dan mendalami ilmu agama.

*Dua Kali Kahwin

Menceritakan mengenai kisah dirinya sambil tersenyum Azmil berkata, “Saya sekarang duda setelah dua kali kahwin. Bekas isteri pertama saya tak suka saya terlibat dalam dunia hiburan. Jadi agak bermasalah ketika itu kerana masing-masing tidak memahami. Dengan bekas isteri pertama, saya dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia 22 tahun.

“Manakala dengan bekas isteri kedua pula, ceritanya terbalik pula. Dia tak dapat menerima keadaan saya sekarang. Dengannya saya dikurniakan empat orang anak.”

Malah kata Azmil, “Ketika saya bercerai itu pun anak bongsu saya berumur 4 bulan. Bayangkan saya menjadi bapa tunggal kepada lima orang anak ketika itu. Tapi alhamdulillah saya merasai pengalaman terindah dalam hidup saya. Kerana bukan semua lelaki dapat merasai pengalaman sebegini.” Kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, dia tidak menafikan masih ada ruang dalam hatinya untuk mencari pengganti.

“Saya tidak kisah untuk mencari pengganti asalkan orangnya beragama, “ujarnya.

*Tidak Akan Berlakon

Menyentuh mengenai dunia lakonan pula kata Azmil, “Saya pernah mendapat beberapa tawaran. Tapi buat masa sekarang saya tidak berminat untuk terlibat lagi.”

Katanya, jika ditawarkan berlakon drama bercorak agama, dia akan menimbangkannya dahulu. “Saya akan membuat sembahyang istiqarah. Jika saya tak dapat petunjukNya saya tak akan menerimanya.”

Malah Azmil mengakui pernah mendapat tawaran menerbitkan filem berunsur agama secara usahasama dengan syarikat perfileman dari Cape Town tetapi menolaknya.

“Saya dah bersetuju pada mulanya dan mereka mahu menawarkan nilai yang tinggi kepada saya. Tapi setelah membuat sembahyang istiqarah, saya tidak dapat petunjuk daripadaNya maka saya reda untuk menolak. Mungkin ada rezeki di tempat lain,” kata Azmil.

Namun lain pula ceritanya saat ditawarkan melakonkan watak Pengiran Demak dalam filem Puteri Gunung Ledang pada tahun 2002.

Kata Azmil, persetujuan dibuat setelah penerbit filem tersebut, Tiara Jacquelina bersetuju dengan 10 syarat yang diberikannya.

“Kebetulan Tiara, kawan lama saya. Antara syarat yang saya minta, tidak mahu nama atau gambar saya dipaparkan di mana-mana iklan di media cetak atau elektronik,” cerita Azmil tentang penampilan terakhirnya di layar perak.

No comments: